Pentingnya khairat kematian

BUKAN kali pertama namun sudah banyak kali isu ini dibangkitkan yakni mengenai kepentingan khairat kematian di kalangan umat Islam.
Penggiat sukarelawan, Mohamed Nasaruddin Jaafar, 35, akui pengalaman selama empat bulan hidup di jalanan bergelandangan kira-kira enam tahun lalu banyak mengajarnya.
“Ketika jadi gelandangan, saya sering tidur sekitar hospital. Banyak perkara berlaku depan mata terutama apabila ada pesakit meninggal dunia dan tiada wang untuk mengurus jenazah,” katanya.
Menurut Nasaruddin, ada keluarga yang kais pagi makan pagi, hanya mampu sediakan makanan sekali sehari sudah tentu belum bersedia atau mempunyai simpanan yang cukup untuk kehidupan harian dan jika ada ahli keluarga yang meninggal, adakah mereka mampu menguruskannya?
“Pastinya tidak! Soal selidik oleh pihak kami pada 2018, dalam 500 dewasa berumur 25 hingga 30 tahun, 30 peratus tidak pernah dengar mengenai khairat kematian.
“Peratus yang sudah berkeluarga dan mengambil khairat kematian pula 0 peratus! Ini adalah dari dalam dan luar bandar.
“Dengan kajian terbaru di mana dewasa bekerja bawah usia 25 tahun tidak mempunyai simpanan lebih daripada RM1,100 di dalam akaun mereka, keadaan ini lebih merunsingkan,” katanya yang melakukan kajian itu melalui dalam talian dan luar talian di beberapa universiti dan syarikat korporat.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Global Changemaker dan BantuOne.org berkata, berdasarkan pengalaman kerja sukarela dan mengurus kes berkaitan, kes tidak berkemampuan membayar kos pengebumian bukan kes terpencil, sebaliknya sering ‘disorok’.
Lebih teruk apabila ada pihak berkaitan tidak berperikemanusiaan dan ketepikan hukum fardu Kifayah hanya kerana ‘tiada bajet.’
Katanya, ada yang membantu dengan sedikit kelonggaran berhutang, namun dari sudut hukum agama, mungkin yang lebih layak komen adalah ustaz.
“Ada kes sangat tragik kerana tidak mampu bayar RM800 dan pihak berwajib tidak membantu, malah mangsa sendiri tidak pernah peka, ada jenazah yang terpaksa diuruskan secara bukan Islam iaitu ‘cremation’ (bakar).
“Sedih, kita sebagai Muslim mendengarnya namun perit lagi keluarga arwah. Kesempitan hidup bukan hanya mengenai sesuap nasi di meja tetapi juga segenggam tanah di tangan.
“Itu antara kisah yang tidak dapat disertakan bukti fizikal kerana membabitkan pihak hospital, aib keluarga dan institusi agama,” katanya tanpa berselindung.
Menurutnya, ketika menghadapi kehilangan orang tersayang, selepas kesedihan, keperluan kewangan adalah paling utama.
Beliau akui, semua kerja dilakukan dengan upah, tidak ada upah kerja tak berjalan, termasuk kerja pengurusan pengebumian mayat.
Sehinggakan media pernah melaporkan, pengebumian terpaksa ditangguh kerana waris tidak dapat mengadakan wang upah penggali kubur sebanyak RM400.
“Contohnya, tahun lalu kita dikejutkan dengan kisah penolakan sebuah surau menguruskan jenazah seorang bayi kerana ibu bapa tidak mampu bayar RM300.
“Disebabkan hanya RM300 jenazah anak kecil itu tertangguh untuk disimpan dan orang ramai menyalahkan pihak surau dengan pelbagai kecaman termasuk menuduh kutip duit orang ramai tapi tak guna untuk hal begini, lebih sibuk mencantikkan surau dan lain-lain.
“Mungkin ada betul dan ada yang kurang tepat. Kena faham juga, tidak semua surau atau masjid mempunyai kewangan yang kukuh. Jadi apakah penyelesaiannya daripada kita asyik menyalahkan sesama kita? ” soal Nasaruddin.
Pentingnya Khairat Kematian
Susulan itu, beliau menyeru masyarakat agar siapkan diri dengan mendaftar khairat kematian untuk diri sendiri dan keluarga.
Katanya ada sesetengah pendaftaran atau yuran hanya serendah RM30 setahun atau RM500 seumur hidup, bergantung kepada kawasan dan pengurusannya.
“Bergaul dengan orang masjid, bukan sekadar singgah hanya ketika solat raya. Kenali komuniti kariah kalian semua, bukan hanya sahabat maya.
“Ketahui sumber mana yang boleh dituntut sekiranya berlaku kematian seperti Khairat Kematian ASB, Pencen, Takaful, KWSP, Perkeso, Penjawat Awam (JPA), Masjid dan banyak lagi.
“Purata proses sumber ini akan mengambil masa dua minggu ke dua bulan bergantung kepada agensi masing masing. Jika kita mengetahui jiran tetangga, saudara mara yang meninggal dunia, sampaikan maklumat ini untuk membantu,” katanya.
Beliau percaya lain tempat, lain cara skim tabung khairat kematian. Ada yang dikutip setiap tahun seperti yuran dari setiap ahli, ada yang dikutip sebanyak lima ringgit setiap ahli bila ada kematian dan berbagai-bagai lagilah kaedah yang mereka gunakan.
“Arwah abah dulu dikutip RM2.50 sebulan. Yang penting, duit yang dikutip mestilah sentiasa cukup untuk membiayai pengurusan pengebumian bila ada kematian di kawasan mereka.
“Selalunya kutipan ini dikendalikan oleh pihak masjid kerana masjid diberi tanggungjawab untuk mengurus pengebumian mayat di kariah mereka.
“Cadangan saya, skim khairat kematian diselaraskan supaya ia lebih saksama, memberi kepuasan hati kepada semua, seperti seorang ahli membayar hanya kos semasa yang diperlukan untuk menguruskan pengebumian satu mayat,” katanya.
Contoh, jika kos ketika pengebumian satu mayat di suatu tempat itu daripada memandikannya, kafan, solat jenazah, pengangkutan, menggali kubur dan tanam adalah RM900, maka setiap ahli kenalah membayar RM900 sahaja apabila ingin menjadi ahli khairat kematian.
Individu atau ahli keluarga boleh membayar secara tunai ataupun secara ansur untuk satu tempoh yang ditetapkan dan apabila sudah cukup bayaran RM 900 yang dibuatnya itu, tidaklah perlu membayar lagi sehinggalah wang itu digunakan atau dikeluarkan kerana membiayai kematiannya atau kematian anggota tanggungannya.
Jika wang khairat RM900 dalam tabung itu digunakan oleh ahli kerana membiayai kematian atau anggota keluarganya maka kekosongan itu perlu diisi semula bagi pembiayaan jika berlaku kematian anggota keluarga lain pada masa depan.
“Kos pengurusan pengebumian jenazah juga mungkin meningkat dari setahun ke setahun. Hari ini kosnya adalah RM900 tetapi mungkin lima tahun lagi kosnya meningkat menjadi RM1,500 atau lebih,” katanya.
Beliau menyarankan institusi agama agar lebih terbuka dalam meraikan kepelbagaian jemaah.
Antaranya, raikan jemaah yang hadir tidak kira latar belakang sama ada mualaf, bertatu, bekas mak nyah atau bekas banduan kerana semua itu adalah kisah lalu.
Institusi agama boleh mewujudkan dana khas pengurusan jenazah bagi kes kecemasan atau terpencil bagi mengelakkan masalah pengurusan jenazah bertangguh kerana wang tidak mencukupi.
“AJK masjid silalah bekerjasama dengan badan atau masjid dan surau lain yang boleh berkerja sama menyelesaikan kes kecemasan yang memerlukan bantuan, bukan menolak secara mentah-mentah.
“Pengetahuan mengenai Khairat Kematian seharusnya disertakan sekali dalam kursus perkahwinan sebagai ilmu persediaan, ia sebahagian daripada pembangunan institusi kekeluargaan.
“Cukup-cukuplah kes jenazah ditangguh pengebumian, masjid dan surau tak nak uruskan solat jenazah, van jenazah sewa cekik darah, sehingga ada yang menghina ‘nak mati pun menyusahkan orang’ kedengaran dari jiran tetangga,” katanya sedih.
Beliau menyeru masyarakat mempermudahkan urusan mereka yang kurang berkemampuan dengan mengenali komuniti setempat tidak kira usia, bangsa dan agama, selain daripada berhenti menyalahkan institusi agama dengan cara berkongsi ilmu yang lengkap.
Sumber Artikel : https://www.hmetro.com.my/